Thursday, February 8, 2007

Pengenalan



......Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan. Dia mencipta manusia dari segumpal darah.
(Al-Quran, surah Al’ Alaq, ayat 1 – 2)



"…. dari segumpal darah.” Dalam ayat tersebut tidak syak lagi bermaksud manusia dijadikan Allah dari bahan-bahan kasar seperti juga yang terdapat di dalam darah. Dan ini tepat sekali selaras dengan ilmu pengetahuan moden yang mengatakan darah memainkan peranan yang terpenting dalam perkembangan seseorang manusia, kerana ia menjadi pembekal tunggal semua bahan keperluan manusia dari saat percantuman benih sehinggalah dibebaskan ke dunia (dilahirkan). Istilah perkembangan di sini dan yang akan digunakan seterusnya adalah khusus bermaksud peringkat-peringkat kejadian dan pertumbuhan janin.

Ayat di atas merupakan wahyu yang pertama sekali diturunkan kepada umat Islam. Ia secara langsung menyeru manusia agar mengkaji dan mempelajari bagaimanakah mereka diciptakan Allah sehingga menjadi seorang manusia yang berakal fikiran. Tetapi sayang sekali, seolah-olah suatu perkara biasa saja dalam kehidupan kita sehari-hari, malah ramai menyangka ia tidak mengandungi apa-apa rahsia yang patut dikaji untuk pegetahuan manusia.

Di antara peringkat perkembangan yang amat penting dalam kehidupan manusia ialah sewaktu dalam kandungan ibu (prenatal). Pada tahap ini proses pembahagian sel, pembentukan organ-organ dalaman dan fizikal berlaku secara aktif. Tingkah laku ataupun amalan ibu sewaktu mengandung akan mempengaruhi pembentukan bayi sama ada dari segi emosi, fizikal dan juga psikologikal.

Pertumbuhan manusia merupakan satu proses yang berlaku berterusan. Pertumbuhan dan perkembangan manusia berlaku dengan pesat di dalam rahim. Sperma daripada air mani bapanya bercantum dengan telur atau ovum daripada ibu lalu membentuk zigot dan seterusnya berkembang sebagai embrio dan janin. Pertumbuhan peringkat ini dinamakan pertumbuhan prenatal.






Link UKM

No comments: